Sunday, 14 February 2016

Sirul akan dedah 5 cuba sogok untuk fitnah


Perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua orang ketika ini ialah bilakah Sirul Azhar Umar, salah seorang pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang kini berada dalam tahanan di Australia, mahu mendedahkan cerita sebenar mengenai pembunuhan itu. Semuanya bakal terungkai...

Bekas komando polis Sirul Azhar Umar didakwa mendedahkan nama individu yang kononnya cuba merasuah atau memujuk beliau mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Menurut sumber Malaysiakini, lima nama telah disebut. Bagaimanapun, sumber itu berkata, pihaknya enggan mendedahkan identiti pihak yang dinyatakan itu buat masa ini.

Sumber itu memberitahu individu tersebut datang dari parti pemerintah dan pembangkang.

"Saya tidak boleh memberitahu anda siapa mereka (buat masa ini) tetapi beberapa nama-nama besar telah disebut.

"Sesetengah daripada mereka (didakwa) mendekati Sirul secara langsung ketika orang lain cuba berhubung dengannya melalui pembantu atau wakil mereka.

"Video (mengenai pendedahan) itu akan dikeluarkan tidak lama lagi," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sebelum ini dalam klip video pertama sepanjang 2.51 minit (KLIK SINI UNTUK TONTON), Sirul mengulangi dakwaan peguamnya bahawa ada pihak tertentu cuba menggunakannya untuk menjatuhkan dan memfitnah seorang individu tidak dinamakan.

Walaupun tidak menyatakan siapakan orang dimaksudkan, ia adalah jelas merujuk kepada perdana menteri.

Dalam video kedua pula Sirul menafikan laporan media bahawa seorang "wanita" tidak dinamakan sedang hamil ketika dibunuh.

Sirul sebelum ini disabitkan Mahkamah Persekutuan atas kesalahan membunuh Altantuya - seorang wanita warga Mongolia - namun dia melarikan diri dari Malaysia ke Australia.

Sirul kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, atas kesalahan imigresen.

Sirul sedang cuba mendapatkan "visa perlindungan" yang membolehkan dia hidup bebas di Australia. - mkini
 

No comments:

Post a Comment

Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.