12 February 2016
Semenjak-dua
menjak ini, banyak berita dan khabar angin yang disebarkan berkaitan
Tabung Haji di laman sesawang dan media sosial oleh golongan tidak
bertanggungjawab atas kepentingan politik dan peribadi semata-mata.
Penyebaran
kenyataan yang tidak tepat dan tanpa usul periksa kemudiannya
mewujudkan suasana tidak tenteram dan tidak percaya dalam kalangan
masyarakat di Malaysia terhadap institusi-institusi kewangan dan
kebajikan Islam.
Jika
ada dalam kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan kenyataan tidak
tepat ini sehinggakan mengeluarkan simpanan mereka di dalam Tabung Haji,
ini amat mendukacitakan saya kerana mengikut terma yang telah
ditetapkan, pelabur-pelabur kini mengalami bukan sahaja kerugian dari
segi pulangan pelaburan dan simpanan malah dari segi peluang untuk
menunaikan ibadah haji ke Mekah.
Satu
daripada peranan Tabung Haji adalah sebagai badan pelaburan dana Islam
yang membolehkan umat Islam di Malaysia menyimpan serta melabur wang
simpanan tersebut secara halal, berteraskan syariat Islam.
Disebabkan
pelbagai kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab terhadap Tabung
Haji, sekiranya ada umat Islam yang bertindak mengeluarkan simpanan
mereka kini tidak dapat lagi menikmati pulangan oleh Tabung Haji.
Lebih malang lagi, mereka yang berbuat sedemikian juga mungkin kehilangan giliran menunaikan haji.
Kita
tidak boleh lupakan bahawa peranan besar Lembaga Tabung Haji ditubuhkan
pada tahun 1963 adalah dengan matlamat utamanya membolehkan rakyat
Malaysia menunaikan rukun Islam ke-5.
Kerajaan
telah dan akan terus berusaha untuk membolehkan seramai mungkin umat
Islam di Malaysia berupaya menunaikan fardhu haji, salah satu caranya
melalui subsidi bagi mereka yang menunaikan haji buat kali pertama.
Bagi
tahun 1437H, kos sebenar menunaikan haji adalah RM18,890 seorang,
tetapi jumlah yang perlu dibayar oleh bakal haji cuma RM9,980.
Selebihnya sebanyak RM8,910 ditanggung oleh Tabung Haji.
Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, kos menunaikan haji bagi rakyat Malaysia ini adalah antara yang paling rendah.
Alhamdulillah,
hasil hubungan diplomatik erat antara kedua negara juga, Kerajaan Arab
Saudi dari semasa ke semasa telah memberikan kita kuota tambahan. Tahun
lalu misalnya, kita telah menghantar tambahan sebanyak 2,100 lagi jemaah
haji muassasah, di atas kuota asal sebanyak 22,320.
Walaupun begitu, Insya-Allah, pada masa sama, kerajaan akan terus berusaha untuk menambah lagi kuota jemaah haji Malaysia.
Setiap
kali lawatan saya ke Arab Saudi, mereka sering memuji pengurusan haji
cemerlang oleh Malaysia, dan juga sahsiah diri jemaah haji Malaysia yang
sangat berdisiplin dalam beribadah dan menunaikan kewajiban kepada
Allah SWT.
Bukankah teramat rugi dan sayang
sekali, seandainya semua kerja keras, hubungan baik, pengiktirafan serta
kelebihan menunaikan ibadah yang kita terima ini sia-sia akibat
kenyataan tidak bertanggungjawab yang disebarkan oleh ahli politik dan
pengguna media sosial?
Ada yang telah menyimpan
lama di dalam Tabung Haji, sudah menghampiri umur senja, tetapi dek
termakan kenyataan berbelit-belit, hilang giliran menunaikan haji
mereka. Bukankah teramat rugi dan sayang sekali?
Saya
faham ada sesetengah pihak yang berniat mencatur langkah politik dengan
mempermainkan serta mencetuskan kebencian rakyat namun saya nasihatkan
agar kesemua ini dihentikan.
Janganlah jadikan
penyebaran yang berunsurkan politik jahat sebagai budaya kita.
Janganlah sehinggakan ada yang kerugian seperti dalam hal ini yang
nyaris mengakibatkan umat Islam hilang pendapatan dan peluang
menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam.
Wallahu'alam.
1) NR FACEBOOK
https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10153308365890952
2) NR Twitter
https://twitter.com/najibrazak/status/698077538896072704
3)NAJIBRAZAK.COM
https://www.najibrazak.com/bm/blog/tabung-haji-dan-rukun-islam-kelima/
No comments:
Post a Comment
Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.