Tuesday 12 January 2016

Selepas larang jawab TPPA, MTEM sangkal jawapan AWO pula


Selepas tidak dibenarkan memberi jawapan kepada pelbagai tuduhan pengkritik TPPA dalam satu forum pada hari minggu, jawapan Dato Abdul Wahid Omar kini diserang pula oleh MTEM.

Jawapan Wahib berikut:

KENYATAAN DATO SRI ABDUL WAHID OMAR BERHUBUNG INSIDEN DI FORUM BANTAH TPPA

Assalam rakan2.

Pada hari Sabtu 9 Januari 2016,  saya telah hadir di Sidang Kemuncak TPPA anjuran Bantah TPPA & Kongres Rakyat di IDCC, Shah Alam.

Saya mendaftar secara online hari sebelumnya setelah mendapat persetujuan Tok Pa yang turut menghantar beberapa pegawai MITI. Tok Pa berada di Pulau Pinang untuk program penerangan TPPA.

Tujuan kehadiran saya adalah untuk mendengar sendiri isu2 yang dibangkitkan oleh ahli2 panel yang terdiri daripada Saudara Nizam Mahshar, Cikgu Azmi, Prof Gurdial Singh & Pn Chee Yoke Ling sementara moderator adalah Saudara Rizal Jaafar.

YABhg Tun Dr Mahathir turut hadir tetapi tidak memberikan ucaptama kerana kurang sihat. Kita doakan agar Tun segera sembuh.

Sidang dibuka oleh Saudara Azlan Awang MTEM. Saya sampai jam 8.50am kerana poster sidang menyatakan acara diadakan 9.00am-1.00pm. Setelah sampai barulah saya diberitahu bahawa Majlis dijadualkan hanya bermula 10.00am. Silap saya kerana tidak mendapat pengesahan waktu. Walaubagaimanapun Majlis hanya bermula 10.30am setelah ketibaan Tun.

Pelbagai isu telah dibangkitkan termasuklah kajian kos & manfaat, soalan mengapa perlu tergesa-gesa, rundingan sulit, perlindungan harta intelek, kemungkinan kenaikan kos ubat, kedaulatan negara, perolehan Kerajaan, syarikat milik Kerajaan & kepentingan Bumiputera.

Saya berpendapat banyak kebimbangan atau kegusaran mereka tidak benar. Sebagai contoh, ada yang menyatakan kedaulatan negara tergadai sehingga Kerajaan negeri akan kehilangan kuasa untuk menetapkan syarat2 penukaran kegunaan tanah, sehingga menghalang negara untuk menetapkan piawaian halal dan sehingga TPPA mengatasi Perlembagaan Persekutuan.

Ini tidak benar.

Antara lain, artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan "Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.".

Ada juga yang membangkitkan kebimbangan tentang peruntukan mekanisma penyelesaian pertikaian Pelabur-Negara (ISDS mechanism). Sebenarnya mekanisma ISDS melalui tribunal arbitrasi antarabangsa telah lama digunakan.

Saya sendiri pernah terlibat ketika menerajui Telekom Malaysia (TM) tahun 2004-2008 dimana TM telah memfailkan kes 'expropriation' terhadap Kerajaan Ghana yang telah melanggar perjanjian dan mengambil alih penguasaan Lembaga Pengarah & pengurusan syarikat Ghana Telecommunications daripada TM setelah pertukaran Kerajaan dimana Presiden Kufour telah menggantikan Presiden Rawlings.

Proses arbitrasi tersebut telah mendorong Kerajaan Ghana menyelesaikan pertikaian dan memberi pampasan setimpal kepada TM.

Walaupun peruntukan ISDS dalam TPPA ini akan mengikat Kerajaan, tuntutan akan hanya berkuatkuasa setelah proses perundingan selama 6 bulan dijalankan sebelum dirujuk ke tribunal arbitrasi antarabangsa.

Ia juga akan memberi perlindungan kepada syarikat2 Malaysia yang kini telah melabur lebih RM600 billion ke luar negara termasuklah dalam negara2 TPP.

Balik ke prosiding Sidang Kemuncak TPPA, setelah panel selesai membuat pembentangan, saya telah memohon untuk bercakap dan memberi sedikit pencerahan. Malangnya permintaan saya ditolak atas sebab kesuntukan masa. Setelah beberapa kali mengulang permintaan, akhirnya saya akur dengan keputusan penganjur. Kita perlu hormat majlis orang.

Izinkan saya menyentuh 3 perkara iaitu isu Penjajahan, Kos & Manfaat dan isu Rundingan Perjanjian.

1. Penjajahan:

Perjanjian TPPA melibatkan 12 buah negara iaitu 5 dari benua Amerika (Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru & Chile), 4 dari ASEAN (Malaysia, Singapura, Brunei & Vietnam) dan 3 dari Pasifik (Jepun, Australia & New Zealand). Tiada negara yang dipaksa untuk menyertai TPP.

Semuanya termasuk Malaysia menyertai TPP kerana percaya akan manfaat bersama (mutual benefits) yang bakal dinikmati. Malaysia sedar kita merupakan negara kecil dengan penduduk seramai hanya 31 juta dan saiz KDNK (GDP) sekitar USD300 billion.

Sebab itulah kita menjuarai penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN bermula 31 Disember 2015 yang membolehkan saiz pasaran kita berkembang menjadi 620 juta penduduk & saiz KDNK USD2.5 trillion.

Dengan menyertai TPP, saiz pasaran akan lebih meluas lagi dengan jumlah penduduk 800 juta & saiz KDNK USD27.5 trillion iaitu 40% daripada saiz ekonomi dunia.

2. Kos & Manfaat:

Dalam menyertai mana2 blok atau perjanjian perdagangan, memang ada kos dan ada manfaatnya. Selain analisa dalaman, Kerajaan telah meminta Institut Kajian Strategi & Antarabangsa (ISIS) untuk melaksanakan Analisa Kepentingan Nasional dan PriceWaterhouse Coopers (PWC) untuk melaksanakan Kajian Kos & Manfaat.

ISIS telah membuat kesimpulan bahawa penyertaan Malaysia dalam TPP adalah demi kepentingan negara.

Manakala PWC membuat kesimpulan TPPA bakal memberikan manfaat bersih kepada ekonomi Malaysia dengan potensi peningkatan ekonomi atau KDNK antara USD107-211 billion dalam jangkamassa 2018-2027 atau peningkatan 0.60%-1.15% pada tahun 2027.

Bank Dunia juga dalam lapuran 'Global Economic Prospects January 2016' mereka telah menyentuh tentang potensi implikasi ekonomi makro TPP dalam mukasurat 219-233. Antara lain, Bank Dunia telah menyatakan bahawa Vietnam & Malaysia adalah antara negara TPP yang bakal menikmati manfaat terbanyak dengan peningkatan KDNK masing2 sebanyak 10% dan 8% menjelang tahun 2030.

Peningkatan ekonomi yang berterusan akan membolehkan rakyat mendapat peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih baik yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan isirumah rakyat Malaysia. Jadi berdasarkan kajian yang telah dijalankan, adalah jelas bahawa penyertaan Malaysia dalam TPP lebih mendatangkan manfaat.

3. Rundingan Perjanjian: 

Sejak awal lagi Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa Malaysia hanya akan menyertai TPP atas terma2 yang boleh kita terima. Saya, DS Ahmad Husni & DS Idris Jala adalah antara menteri2 ekonomi yang telah membantu Tok Pa dalam rundingan TPPA. Penglibatan saya bermula 2 tahun lalu setelah menyertai Kabinet.

Memang sukar untuk memuktamadkan perjanjian sebesar ini yang melibatkan negara2 kuasa besar. Pelbagai usaha telah dibuat untuk memastikan pihak AS memahami kedudukan & keperluan Malaysia. Ini termasuk mengadakan sesi penerangan kepada Wakil Perdagangan AS tentang polisi Bumiputera & peranan syarikat2 berkaitan Kerajaan.

Saya percaya Tok Pa & pasukan MITI dengan sokongan lain2 Kementerian & agensi telah membuat yang terbaik mendapatkan terma2 yang perlu untuk memelihara kepentingan negara. Ini termasuk pengiktirafan polisi Bumiputera dalam perjanjian TPP.

Perkara ini tercapai kerana Malaysia telah menyertai rundingan awal. Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam senarai 12 negara awal TPP, Malaysia akan terpaksa menerima terma2 perjanjian sedia ada kemudian. Kemungkinan ini adalah benar (real) kerana 3 buah negara ASEAN lain iaitu Indonesia, Thailand & Filipina telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai TPP selepas ini.

Akhir sekali, Kerajaan akan membentangkan perjanjian TPP untuk kelulusan Dewan Rakyat pada 26&27 Januari dan Dewan Negara pada 28 Januari. Apa juga kegelisahan atau kebimbangan boleh diutarakan oleh Ahli2 Parlimen & akan dijawab oleh Tok Pa pada sesi Parlimen tersebut.

Marilah kita bersikap membina & bersiap sedia untuk memastikan syarikat2 & rakyat kita dapat memanfaatkan TPPA yang bakal kita tandatangani setelah kelulusan Parlimen nanti.

Terima kasih. 

Jawapan Wahid itu disangkal oleh Nizam Mashar Pengerusi MTEM:

Surat terbuka untuk Wahid Omar mengenai TPPA – Nizam Mahshar

Published: 11 January 2016 8:40 PM

Saya terkilan dengan jawapan Datuk Seri Abdul Wahid Omar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) oleh Bantah TPPA di Shah Alam, 9 Januari 2016.

Wahid mengatakan beliau menghormati majlis dan menghormati jawapan yang diberikan penganjur majlis untuk tidak dapat memberi ruang beliau bercakap tetapi memberitahu kepada semua pihak seolah-olah hak beliau dirampas.

Mesej peribadi Wahid kepada saya pada malam sebelum program adalah beliau datang semata-mata untuk mendengar.

Jika beliau maklumkan dari awal beliau ingin bercakap kita boleh menyediakan slot bersama 4 panel dalam forum tersebut.

Permohonan untuk beliau bercakap dibuat selepas sesi panel berakhir. Penganjur juga tidak dapat memberi ruang kepada lebih 50 persoalan yang diajukan peserta sidang yang hanya 5 soalan dapat dijawab memandangkan masa yang terbatas.

Moderator forum memaklumkan akan menjawab semua soalan dalam media sosial bagi memastikan semua soalan terjawab.

Yang pastinya rakyat mempunyai banyak persoalan dan pendapat yang belum terjawab dan kefahaman rakyat berkenaan TPPA masih rendah, namun sepanjang 6 tahun lepas TPPA dirundingkan oleh Kerajaan secara tertutup dan rahsia, dan dalam tempoh 2 bulan ini, selepas teks perjanjian terpaksa didedahkan, rakyat dipaksa untuk menerima TPPA tanpa dapat merubah isi kandungan perjanjian.

Ya, isi kandungan atau teks perjanjian tidak boleh diubah walaupun rakyat tidak bersetuju. Ya, kita bakal dipaksa menerima TPPA walau banyak kita tidak bersetuju berkenaan isi kandungan perjanjian dan wajib bersetuju menerima apa saja yg dipersetujui dlm perundingan rahsia sebelum ini yang berakhir di Atlanta November lepas sebelum teks perjanjian didedahkan.

Tujuan Sidang Kemuncak TPPA adalah mendengar pandangan pelbagai pihak berkenaan isu TPPA, dan 250 NGO menyatakan pandangan menolak TPPA.

Sidang Kemuncak memberi ruang kepada pelbagai kumpulan ini memberi pandangan dan kita menyediakan ruang kepada 15 pemimpin masyarakat mewakili pelbagai kumpulan untuk menyuarakan pandangan antara lain dari kumpulan pesakit dan NGO kesihatan, wakil nelayan dan petani, wakil kumpulan politik dari PKR, PSM, wakil NGO Melayu, Gabungan Ketua Cawangan Umno, kumpulan profesional, wakil peguam, wakil NGO Islam dan aktivis pengguna.

Memandangkan kesuntukan masa beberapa wakil pemimpin masyarakat seperti kumpulan alam sekitar, parti PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah), kumpulan pelajar dan kumpulan pekerja tidak berkesempatan untuk menyatakan pandangan bukan sahaja beliau.

Peluang untuk berbicara dan didengari tidak diberikan secara adil dalam semua sesi penerangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebelum ini.

Terakhir dalam sesi Town Hall Miti Disember yang lepas, pihak kami dicabar Timbalan Menteri Miti, Datuk Ahmad Maslan untuk hadir dan mengajukan pandangan.

Kami menyahut cabaran dengan 9 wakil hadir dengan 20 soalan. Malangnya sebahagian besar wakil tidak dapat bertanyakan soalan dan bagi yang berjaya menanyakan soalan menteri mengelak daripada menjawab soalan tersebut dan memberi jawapan umum yang sebenarnya tidak menjawab soalan.

Menteri dan Miti diberi peluang yang luas untuk memberi ulasan berkenaan TPPA, saya mengharapkan Sidang Kemuncak TPPA 2016 menjadi peluang kepada menteri untuk mendengar pandangan yang sebelum ini tidak diberi ruang untuk diajukan.

Malangnya Wahid pulang awal dan tidak sempat mendengar keseluruhan pandangan termasuk antara lain pandangan wakil nelayan dan petani, profesional dan wakil gabungan ketua cawangan Umno memberi pandangan.

Malahan ketika wakil Perkasa dan PKR memberi pandangan beliau yang duduk di sebelah memberi respons "mana boleh"! tanpa meneliti secara mendalam pandangan tersebut.

Kita memberi jawapan secara beradab dalam majlis tersebut kepada menteri untuk mendengar wakil dari masyarakat memberi pandangan dan memberi cadangan kepada beliau untuk beliau mengadakan satu sesi khas yang dianjurkan beliau/EPU dan kami sudi membawa wakil daripada 250 NGO ini untuk mendengar dari kedua-dua belah pihak.

Malahan kerajaan dalam tempoh 2 bulan ini sudah mengadakan lebih 30 sesi penerangan diketuai Datuk Seri Mustapa Mohamed ke serata pelosok Malaysia termasuk dalam media arus perdana menggunakan jentera dan dana kerajaan menerangkan pandangan sebelah pihak berkenaan TPPA.

Banyak persoalan dalam sesi penerangan tersebut tidak dijawab malahan soalan daripada pemanggil dan soalan Facebook ketika sesi di RTM, tidak dibenarkan untuk diutarakan.

Kami bersedia untuk bersama-sama duduk sepentas bersama-sama menteri Miti atau Wahid dalam siri “roadshow” yg diadakan oleh kerajaan jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendengar pandangan rakyat dan pandangan yang kritikal berkenaan TPPA.

Dalam 30 lebih roadshow diadakan di seluruh negara, ianya hanya bersifat berat sebelah, mempromosikan kebaikan TPPA tanpa ada panel daripada pihak yang kritikal pada TPPA memberi pandangan sebaliknya.

Dalam analisa yang kami laksanakan kerajaan bakal kehilangan AS$12bilion daripada imbangan dagangan (trade balance) pada 2027 jika TPPA dilaksanakan, dan tanpa TPPA negara mendapat tambahan dalam imbangan dagangan sejumlah AS$1billion setiap tahun.

Mengikut data dari Amerika Syarikat sendiri, nilai tambah keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas TPPA kesan daripada pemotongan tarif menjelang 2025 hanyalah 0.01%.

Ini adalah terlalu kecil berbanding kesan dan implikasi kepada kedaulatan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat yang bakal kita rugikan. Semua ini dan banyak lagi tidak dihebahkan menteri dalam sesi penerangan mereka ke seluruh negara.

Sebelum ini rakyat menyuarakan pandangan tentang kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kos sara hidup dan peluang perniagaan yang semakin mengecil. Tiada penyelesaian yang tuntas kerajaan dan rakyat merasa peritnya.

TPPA adalah perjanjian perundangan antarabangsa yang ketat dan memberi kesan jangka panjang dan bakal memberi kesan jangka panjang kepada seluruh rakyat.

Saya merasa terkilan ketika mana rakyat bakal menerima kesan besar dari TPPA, Wahid membesar-besarkan isu tidak dapat bercakap dalam satu forum namun tidak menyebut kebimbangan rakyat yang disebut dalam forum tersebut.

Saya berharap Wahid akan lebih berjiwa besar, dan tidak salah seorang menteri duduk mendengar keseluruhan pandangan rakyat, pada saat rakyat sangat memerlukan suara mereka didengari. Mohon maaf kerana bercakap benar. – 11 Januari, 2016.

* Mohd Nizam Mahshar ialah pengerusi, Bantah TPPA dan Sidang Kemuncak TPPA.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/surat-terbuka-untuk-wahid-omar-mengenai-tppa-nizam-mahshar#sthash.4bZ6RGud.dpuf

Still, .... apa salahnya berikan ruang untuk Menteri bersuara dan beri penjelasan!

MITI ada mengeluarkan risalah berkenaan TPPA semalam. Ringkas dan mudah difaham. Versi pdf di SINI.

1 comment:

  1. Kalau boleh MTEM mahu semua polisi kerajaan misti mengikut kehendak mereka.Mereka ni berniaga nak subsidi dan keistimewaan memanjabg.Persaingan mereka tak mahu,penambahbaikan misti dapat grant,orang luar hanya boleh beli dari mereka,mereka tak mahu beli dari orang luar,keculi utk keperluan perniagaan mereka.Umno misti utamakan mereka dalam mentadbir negara,orang lain taki usah di ambil kira.

    ReplyDelete

Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.