Untuk mereka kenaikan ini amat wajar kerana beban
tugas yang semakin banyak dan rakyat pula selalu meminta sumbangan
kewangan daripada mereka.
COMMENT
Oleh Ronasina
Kita sudah melangkah ke tahun 2016 dan seawal minggu pertama kita sudah menerima berbagai beban perbelanjaan khususnya keperluan persekolahan anak-anak. Harga barangan keperluan semakin naik menjadikan kos kehidupan meningkat. Jurang di antara pendapatan (gaji) dan perbelanjaan semakin tipis. Kesuraman ekonomi dengan rancak-jana perniagaan yang lemah membuatkan majikan tidak berani menaikkan gaji atau upah pekerja.
Perdana Menteri juga menteri-menteri berkaitan telah menyedari hal ini dan berkali-kali menasihatkan rakyat agar sentiasa kreatif menggunakan imaginasi untuk menambah pendapatan. Seorang timbalan menteri menyarankan kepada rakyat supaya membuat lebih dari satu pekerjaan. Rakyat juga disarankan agar mengamalkan hidup sederhana. Bagi menteri, inilah cara terbaik menghadapi cabaran hidup selain disuruh rakyat bercucuk tanam, jangan makan ayam dan lain-lain lagi.
Anehnya ketika rakyat disuruh itu dan ini, menteri-menteri dan wakil rakyat Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan BEBAS mempunyai formula menangani beban tugas mereka iaitu menaikkan gaji serta elaun mereka sendiri sehingga melebihi 40%.
Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 itu telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan diluluskan di Parlimen pada April 2015 yang lalu selepas ke semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong sebulat suara.
Bermakna berkuatkuasa tahun lepas, 1 Januari 2015 (maknanya telah tertunggak empat bulan dari tarikh kelulusan itu dan sudah pastinya ada bayaran tunggakan) semua Ahli Parlimen menerima kenaikan sebanyak RM5,000 iaitu dari RM11,000 sebelum ini menjadi RM16,000.
Ini tidak termasuk elaun mesyuarat RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan elaun harian RM150 bagi menghadiri mesyuarat dengan agensi kerajaan. Ahli Dewan Negara menerima kenaikan sebanyak RM4,000 menjadikannya RM11,000 .
Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara pula menerima kenaikan sebanyak RM11,000 dari RM20,000 menjadikan RM31,000 sementara Timbalan Speaker pula menerima kenaikan dari RM16,000 kepada RM20,000.
Untuk mereka kenaikan ini amat wajar kerana beban tugas yang semakin banyak dan rakyat pula selalu meminta sumbangan kewangan daripada mereka. Tidak pula mereka berfikir yang mereka perlu hidup sederhana atau cari bilik sewa yang murah untuk pusat khidmat.
Sayugia diberitahu kenaikan ini melibatkan semua ahli parlimen kerajaan dan juga pembangkang. Ya, termasuklah ahli parlimen (dengan tidak perlu menyebut namanya) yang apabila dikritik mengapa senyap sahaja ketika sidang dewan dia menjawab diam dia adalah diam seorang pemerhati dan pelajar. Gaji serta elaun ahli parlimen yang kerap ponteng, kerap buat bising tidak tentu fasal, juga tidak terkecuali naik.
Sukacita juga dimaklumkan bahawa kenaikan gaji dan elaun ini menjadikan pertambahan Belanjawan Negara meningkat kepada RM17.2 juta setiap tahun.
Sangat pedih lagi apabila gaji serta elaun Ahli Dewan Undangan Negeri juga naik. Kedah, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Perak antara kerajaan negeri yang menaikkan gaji ADUN dengan kenaikan yang cukup tinggi.
Rakyat harus menilai semula dengan bijak prestasi serta komitmen wakil rakyat yang mereka pilih dalam menyampaikan suara rakyat apakah benar-benar tinggi atau hanya lebih menumpukan isu-isu politikal berkitar tentang diri mereka sahaja. Isu-isu remeh seperti rasisme, cauvinisme, kod etika berpakaian termasuk membela hanya sosok tertentu sahaja patut dijadikan agenda nombor sepuluh sebaliknya wakil rakyat yang telah menerima gaji besar ini sewajarnya lebih giat mengangkat isu rakyat terbanyak seperti isu pekerja, gaji minimum, beban sara hidup serta cukai dan sebagainya dengan penuh bersungguh. Masalah tol, pembuangan pekerja tempatan dan digantikan dengan pekerja asing, masalah kemiskinan, masalah Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu diselami sedalamnya untuk diperjuangkan dan bukan sekadar bercakap sambil lewa supaya dilihat konon bercakap. Terlalu banyak masalah di bawah ini yang berkait dengan pelan dan penggubalan sesuatu dasar.
Rakyat jangan mudah ternganga apabila mendengar ceramah wakil rakyat mereka yang selalu menyebut-nyebut tentang perjuangan membela rakyat, mengaitkannya dengan kesederhanaan khalifah Umar Abdul Aziz atau mengulang petikan Saidina Abu Bakar As Siddiq “Orang yang lemah di sisi kamu adalah yang paling hampir denganku sehingga aku kembalikan hak-haknya”. Jangan mudah mengangguk apabila menteri menggunakan istilah indah-indah tetapi apabila ada kesempatan, yang didahulukan adalah keuntungan mereka sendiri.
Sumber kekayaan negara wajar diagihkan sebaiknya kepada semua warganegara tidak kira apa juga kaum. Bukan menyalurkannya ke akaun bank wakil rakyat, menamakannya sebagai ‘gaji dan elaun’ dan melalui poket Yang Berhormat rakyat menadah tangan menagih bantuan. Rakyat tidak boleh membiarkan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” atau “Kepedulian Rakyat” dan “Negara Berkebajikan” menjadi mainan dan kemudiannya busuk di lidah politikus.
Sementara masih di dalam bulan Januari, diucapkan ‘Selamat Tahun (gaji) Baru YB!’
@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
rakyat mati xpe..asal YB hidup
ReplyDeleteSumber kekayaan negara wajar diagihkan sebaiknya kepada semua warganegara tidak kira apa juga kaum. Bukan menyalurkannya ke akaun bank wakil rakyat, menamakannya sebagai ‘gaji dan elaun’ dan melalui poket Yang Berhormat rakyat menadah tangan menagih bantuan. Rakyat tidak boleh membiarkan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” atau “Kepedulian Rakyat” dan “Negara Berkebajikan” menjadi mainan dan kemudiannya busuk di lidah politikus.
ReplyDelete