Tuesday, 26 January 2016

Pengerusi DAP Sarawak terencat akal


KUCHING: Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kelmarin umpama seorang yang ‘terencat politik’ apabila mengatakan rundingan penurunan kuasa sebagai tidak membawa apa-apa perubahan.

Kenyataan demikian langsung tidak bersifat membina terhadap usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selain tidak serius oleh pemimpin pembangkang yang mengamalkan politik tidak berpandangan jauh, katanya.


“Chong juga mendakwa mereka adalah orang pertama yang membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan pemberian autonomi dan pemerkasaan Sarawak semasa Deklarasi Bintulu (Bintulu Declaration) pada 26 Oktober 2014.


“Malangnya, sifat jahil yang ditunjukkan ahli politik DAP ini jelas menunjukkan mereka tidak sedar bahawa dua minggu selepas mengambil alih jawatan Ketua Menteri telah menyebut dengan jelas ketika temu bual eksklusif menyentuh mengenai Sarawak yang perlu dilayan berpandukan Perlembagaan oleh kerajaan persekutuan.

“Malah, beliau juga berhasrat untuk meneruskan inisiatif bersama kerajaan pusat bagi mengkaji serta menyemak semula pelbagai perkara berhubung kepentingan Sarawak terutama yang berkaitan dengan geran pembangunan yang disifatkannya sebagai ‘taik manok’ ataupun tidak mencukupi,” ujarnya menerusi satu kenyataan semalam.

Kenyataan Adenan itu disiarkan menerusi sebuah akhbar pada 16 Mac 2014, tujuh bulan sebelum Deklarasi Bintulu seperti yang didakwa Chong.


Selain itu, kata Abdullah, Chong dan DAP Sarawak juga sering menumpang populariti dan menagih pujian atas usaha Adenan seperti tindakan untuk memansuhkan tol dan perjuangan agresif terhadap pembasmian pembalakan haram di negeri ini.

Mereka juga sentiasa menumpang gembira dalam ‘wagon rode’ yang dikendalikan oleh BN.

Pengumuman 13 perkara oleh Ketua Menteri sebenarnya sangat bermakna jika memahami bagaimana jentera kerajaan berfungsi, katanya.

Sebagai contoh, bagi projek-projek yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan, mereka perlu sentiasa memberi keutamaan kepada Pelan Pembangunan Sarawak Lima Tahun dan semua kementerian persekutuan yang berkenaan perlu terlebih dahulu berunding dengan kerajaan negeri apabila merancang atau merencana pelaksanaan apa-apa projek pembangunan di Sarawak.

“Kata putus daripada perjanjian yang dipersetujui ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri dalam perkara tertentu mempunyai kawalan dan kuasa sehingga ke tahap tertentu ke atas projek-projek yang dibiayai kerajaan persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang efisien serta teratur lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kepentingan rakyat Sarawak.


“YB Chong sebenarnya enggan menerima realiti bahawa Ketua Menteri telah berjaya mengorak langkah ke depan dalam inisiatif rundingan dengan kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Katanya, semua cadangan Chong seperti perubatan, pendidikan dan hal ehwal dalaman merupakan sebahagian daripada berbagai perkara lain yang sedang dikaji dengan teliti oleh kerajaan berpandukan Perlembagaan dan praktikal dari segi pentadbirannya.

“Saya tidak fikir kami akan bertindak tidak munasabah atau tergopoh-gapah dengan membuat tuntutan hanya atas alasan menuntut semata-mata, tetapi hasilnya berkesudahan Sarawak akan rugi lebih banyak.

“Saya yakin perundingan ini akan dijalankan dalam suasana yang harmoni serta mengikut proses tahap diplomasi yang tinggi.

“Kami BN Sarawak amat tidak menyokong permusuhan dan konfrontasi sama sekali,” tegasnya.

Jelasnya, Adenan juga menyatakan rundingan ini adalah pusingan pertama dan akan ada banyak lagi perkara yang akan dicapai pada masa akan datang.


Rakyat, katanya, kini perlu memberi peluang kepada Ketua Menteri untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai tanda sokongan dan menghargai penat lelahnya.

Ini perlu dilakukan dengan memberi mandat yang terbesar kepada Adenan pada pilihan raya negeri kelak.

Abdullah turut menafikan dakwaan Chong yang mengatakan usaha Adenan sebagai lembab dan tidak boleh dipercayai.

“Tapi apa yang Chong tidak tahu ialah kemampuan KM Adenan dari segi politik dan kepimpinan adalah sama seperti kejaguhan Muhammad Ali dalam tinju.

“Dia bergerak seperti kupu-kupu tetapi menyengat seperti lebah,” katanya. -UB-

 http://klxpress.com.my/sarawak/10506-abdullah-sifatkan-kenyataan-chong-umpama-seorang-terencat-politik.html

No comments:

Post a Comment

Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.