Monday, 12 September 2016
Keyakinan dan pengobanan demi perjuangan
Anggota Umno Perlu Punyai 'Winning Mentality' - Annuar Musa
TEMERLOH, 11 Sept (Bernama) -- Semua anggota UMNO perlu membina konsep 'winning mentality' atau mentaliti untuk menang di dalam diri masing-masing untuk memastikan mereka tidak lemah dan terperangkap dengan apa jua isu dibangkitkan oleh musuh politik.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata sikap itu amat penting untuk memberi keyakinan kepada pucuk pimpinan parti pelbagai peringkat terutama institusi presiden untuk terus menerajui parti dan negara.
"Anggota UMNO perlu membina konsep 'winning mentality' ini kerana mereka yang berada di luar sana sememangnya mengatur strategi melemahkan UMNO dengan menimbulkan pelbagai keraguan dalam isu-isu bersifat 'half truth' (separa benar).
"Keadaan kini dengan adanya media baharu, setiap isu yang ditimbulkan itu sama ada benar atau tidak ia akan memakan masa untuk diselesaikan dan hal ini kadangkala telah menimbulkan perasaan rendah diri dalam kalangan anggota parti.
"Kalau anggota UMNO tidak mempunyai daya ketahanan dalam menghadapi serangan ini, maka itu yang menyebabkan ramai dalam kalangan kita yang merasa tidak berdaya dan tertekan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Temerloh, di sini Ahad.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Datuk Mohd Azmi Mat Ludin, Ketua Pemuda bahagian Azril Rizal Sarit dan Ketua Wanita Bahagian Juhanis Abdul Aziz.
Menurut Annuar, anggota UMNO seharusnya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pucuk pimpinan untuk terus melaksanakan agenda pembangunan negara demi kepentingan rakyat.
"Kita tidak harus terganggu dengan isu-isu yang dibangkitkan (musuh politik) kerana kita mahu kerajaan di bawah pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak terus memberi fokus kepada agenda yang lebih besar iaitu agenda membela rakyat.
"Sehubungan itu, kita sebagai anggota parti tidak harus terbawa dengan isu sampingan yang cuba dibawa oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk mengganggu perhatian Najib mentadbir kerajaan".
Beliau berkata setiap isu yang dibangkitkan sentiasa mendapat perhatian pucuk pimpinan parti dan ia diatasi dengan pelbagai pendekatan serta penerangan kepada rakyat secara berterusan.
"Jangan lupa set penilaian kita berbeza dengan pembangkang. Bagi pembangkang, siapa yang berani membawa isu, dia akan dianggap hebat, namun bagi kerajaan, kita dinilai sejauh mana kita dapat membawa agenda membela rakyat.
"Sebab itu kita mesti terus menyokong perdana menteri yang telah terbukti lebih jauh berkeupayaan dengan melaksanakan pembangunan dalam masa tujuh tahun pentadbirannya (berbanding) daripada yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh (hampir) 23 tahun (menjadi perdana menteri)," katanya.
Sementara itu, Mohd Sharkar berkata UMNO Bahagian Temerloh berikrar untuk merampas semula kawasan Parlimen Temerloh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan dan DUN Mentakab daripada tangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Beliau berkata untuk mencapai objektif itu, UMNO bahagian telah mengatur strategi dan gerak kerja termasuk mendekati pengundi serta usaha mengesan dan mendaftar 8,000 orang pengundi baharu.
"Kemenangan ini penting kerana kita sendiri telah merasai keperitan apabila tidak ada lagi pembangunan dilakukan di kawasan yang dahulunya milik tradisi UMNO ini setelah ia dimenangi pembangkang," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.