Thursday 17 March 2016

Isu AG dan RM2.6 billion ganggu proses mahkamah, subjudis


'Bincang AG di EGM Majlis Peguam mungkin subjudis'

Malaysiakini
16 Mac 2016, 2:52 petang   
16 Mac 2016, 5:56 petang

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengalu-alukan tindakan Majlis Peguam Malaysia memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun Presidennya Datuk Zainal Rijal Abu Bakar berkata pihaknya terkejut apabila terdapat usul untuk membincangkan kedudukan peguam negara dalam Mesyuarat Agong Luarbiasa Majlis Peguam Sabtu ini.

"PPMM berpandangan oleh kerana isu ini telahpun difailkan di mahkamah, perbincangan terbuka isu berkaitan boleh menjadi subjudis kepada prosiding di mahkamah kelak dan perlu dielakkan.


"Apabila sesuatu perkara itu masih belum dibuktikan atau tidak dibuktikan di sesebuah mahkamah, adalah menjadi subjudis jika ia dibincangkan secara terbuka di khalayak awam,"katanya pada kenyataan media hari ini.

Subjudis merujuk kepada sesuatu perkara di mahkamah yang masih belum diputuskan.

Menurut Zainal, sekiranya usul itu diteruskan ia mungkin mempengaruhi mahkamah dalam membuat keputusannya.

"Dalam masa yang sama PPMM sedar Majlis Peguam Malaysia juga tidak boleh menghalang mana-mana ahli dari memfailkan sebarang usul yang difikirkan sesuai oleh ahli berkenaan.

"Dalam hal yang demikian adalah amat perlu sebarang perbincangan berkaitan isu tersebut disempadani dengan perhatian ketat agar tidak bersifat subjudis kepada prosising di mahkamah kelak," ujarnya.

Semalam Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru memberitahu pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Apandi untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap perdana menteri.

Dalam permohonan itu Majlis Peguam memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan keputusan Apandi pada 26 Januari lalu 'membersihkan' Najib dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan mereka.

Ia berhubung dakwaan Najib menerima deposit sebanyak RM42 juta daripada syarikat SRC International Sdn Bhd dan sumbangan RM2.6 bilion ke akaun bank peribadinya.

Majlis Peguam juga memohon Apandi supaya hilang kelayakan daripada membuat keputusan lanjut berkaitan kes itu.

---------------------------

Isu dana RM2.6 bilion tidak boleh lagi dibahas

16 Mac 2016
Sinar Harian
  

KUALA LUMPUR - "Kerajaan tidak lagi akan menjawab soalan‎ berhubung isu melibatkan dana RM2.6 bilion di Dewan Rakyat disebabkan ia tertakluk kepada proses yang sedang berlangsung di Mahkamah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata isu RM2.6 bilion dan SRC International kini berhadapan dengan satu tindakan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) oleh Majlis Peguam Malaysia terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Isnin lalu.

"Isu tersebut kini tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) yang menyatakan ‘Sesuatu pertanyaan tidak boleh dikarangkan cakapnya sekira-kira harus mengelencongkan perkara yang sedang dibicarakan oleh Mahkamah dan tidak boleh ditanya berkenaan dengan apa-apa perkara dalam pertimbangan Mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azalina memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memberikan jawapan mengenai sebarang isu yang melibatkan akauntabiliti termasuk dalam isu RM2.6 bilion dan SRC International. -  Bernama

1 comment:

  1. tunggu masuk court dulu. biaq jugde yg tentukan samaada kuasa ag itu tak boleh dicabar. mcm singapore

    ReplyDelete

Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.