Monday 30 May 2016

Kurangkan jurang pembangunan Malaya dan Sabah/Sarawak


Najib akan kurangkan jurang pembangunan Sabah, Sarawak

Sinar Harian
28 Mei 2016

TAWAU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, visi beliau sebagai perdana menteri adalah bagi merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Perdana menteri yakin visi itu berupaya beliau laksanakan oleh kerana kerajaan yang diterajui BN bukan sahaja mendapat kepercayaan rakyat, malah begitu memahami kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan sesuatu yang mereka impikan menjadi kenyataan.

Katanya satu daripada projek berimpak tinggi yang diimpikan rakyat Sabah adalah projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,236 kilometer bernilai RM12.38 bilion yang bakal mengubah landskap sosioekonomi dan pembangunan negeri Sabah apabila siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.

"Terbukti bahawa anda (rakyat) yakin kepada kerajaan BN. Kita memang mempunyai visi untuk negara dan Sabah Bumi Di Bawah Bayu. Saya sebagai perdana menteri, saya ingin melihat bahawa jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung dapat dirapatkan dan dapat diimbangi supaya Sabah di bawah BN lebih maju lagi," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Tawau-Sandakan sepanjang lima kilometer di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Parin Kitingan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Najib menyifatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang menganjur dari Sindumin hingga ke Tawau sebagai projek paling hebat pernah dilaksanakan di Sabah berbanding banyak projek besar lain di negeri ini kerana impaknya bersifat menyeluruh untuk seluruh negeri Sabah.

Perdana menteri berkata, apabila siap kelak projek berkenaan berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonami Sabah, termasuk merangsang pembangunan sektor pelancongan serta pembabitan rakyat Sabah dalam bidang perniagaan yang lebih berdaya saing.

"Kita tak cakap saja. Kita boleh buat, kita boleh laksanakan, sebab itu kita buat Lebuhraya Pan Borneo. Pan Borneo akan ubah landskap bumi Sabah ini. Tidak ada projek lain lebih hebat daripada Pan Borneo. Kita mungkin ada projek lain tetapi impaknya khusus kepada sesuatu kawasan atau kepada sesuatu daerah sahaja," katanya.

Selain itu, kata Najib, tiada bayaran tol akan dikenakan kepada pengguna lebuh raya dua lorong sehala itu, sekaligus tidak akan membebankan rakyat.

"Sebab itu, kita mesti pastikan projek ini berjaya. Saya akan memberi perhatian sepenuhnya agar projek ini berjaya. Walaupun ekonomi dunia tak menentu, harga minyak jatuh, walaupun ringgit (menurun) kesan perubahan kadar faedah di Amerika Syarikat, tetapi kita akan tetap laksanakan Lebuhraya Pan Borneo ini," katanya.

Sehubungan itu Najib meminta rakyat Sabah agar terus setia dan memilih BN untuk menerajui kerajaan bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang sedang dirancang dan dilaksanakan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Katanya kerajaan BN adalah kerajaan proaktif yang bijak membuat perancangan rapi yang membolehkannya berupaya mengumpul dana dan dana berkenaan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Perdana menteri berkata projek Lebuhraya Pan Borneo berkenaan boleh dianggap sebagai hadiah untuk rakyat Sabah yang setia menyokong kerajaan BN.

Sementara itu, Najib berkata beliau akan datang ke Lahad Datu pada bulan September depan bagi melancarkan pakej projek Lebuhraya Pan Borneo berikutnya di daerah berkenaan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan semua pihak terutama anggota keselamatan agar memastikan keselamatan di pantai timur Sabah terus terjamin bagi membolehkan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Pastikan tiada lagi Royal Sulu datang, kalau datang kita hapuskan mereka. Tidak ada maaf bagimu (Royal Sulu). Ini bumi Sabah. Sabah merdeka dalam Malaysia. Tidak ada sesiapa boleh mengancam kemerdekaan Sabah," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment

Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.