Monday 14 November 2016

Rahman Dahlan bidas putar alam Rafizi tentang ECRL



ISU MRLSB, RAHMAN BIDAS RAFIZI TAK BUAT ‘HOMEWORK’
https://www.bnbbc.my/isu-mrlsb-rahman-bidas-rafizi-tak-buat-homework/
 
*RAFIZI SENGAJA KELIRUKAN RAKYAT*

Walaupun penjelasan demi penjelasan sudah diberikan, pihak pembangkang yang dikepalai YB Rafizi Ramli masih berkeras mahu mengelirukan rakyat bahawa Malaysia Rail Line Sdn Bhd (MRLSB), syarikat khusus yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memiliki dan mengendalikan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kononnya dimiliki oleh dua individu dan bukannya kerajaan Malaysia.

Izinkan saya untuk menjelaskan sekali lagi dalam bahasa yang mudah bahawa YB Rafizi adalah salah, dan beliau dengan sengaja mahu mengelirukan rakyat.

Bagi memudahkan penubuhan awal MRLSB, kedua-dua orang pegawai Kementerian iaitu Dr Yusof Ismail dan Ahmad Suhaimi Endut telah dinamakan sebagai Pengarah Pertama dan Pemegang Saham Pertama.

Kemudiannya, saham-saham tersebut telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan Diperbadankan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) pada 12 Oktober 2016.

Walaubagaimanapun, berdasarkan Akta Syarikat 1965, sesebuah syarikat tidak perlu memohon kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (“SSM”) untuk mendaftarkan mana-mana perpindahan saham (Borang 32A).

Oleh yang demikian, sebarang pertukaran hakmilik (berdasarkan perpindahan saham) tidak akan ditunjukkan dalam sistem SSM selagi syarikat berkenaan belum mengemukakan laporan tahunannya (permohonan ini perlu dibuat selepas Mesyuarat Agung Tahunan [AGM] dan AGM pertama sesebuah syarikat baharu adalah dalam tempoh 18 bulan penubuhannya).

Ini menjelaskan kenapa laporan carian di SSM yang dibuat oleh YB Rafizi masih menunjukkan nama kedua-dua pegawai tersebut sebagai pemegang saham MRLSB sedangkan sebenarnya pemegang-pemegang saham terkini syarikat tersebut adalah Kementerian Kewangan (MOF) dan PTP.

Sekiranya YB Rafizi benar-benar membuat kajian sebelum melemparkan tuduhan, sudah pastilah beliau tidak dipandang sebagai seorang yang terdesak untuk mendapatkan ‘brownie points’ sehingga menjejaskan kredibiliti beliau sendiri.

Abdul Rahman Dahlan
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya.

-------------------------------------------



No comments:

Post a Comment

Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.