Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid berkata beliau akan meneruskan perjuangan suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bagi membela penduduk Kuala Kangsar, selain meneruskan agenda pembangunan yang dirancang sebelum ini.
Sekali pun ditohmah dengan pelbagai fitnah dalam laman sosial 
kerana menjadi calon BN sedangkan masih dalam tempoh edah berikutan 
kematian suaminya, Mastura yakin pengundi kawasan itu bijak menilai 
dirinya.
"Saya adalah orang Kuala Kangsar, saya sudah berada di sini sejak 
27 tahun lepas," katanya dalam sidang berita pertamanya selepas 
dicalonkan mewakili BN bagi PRK Kuala Kangsar.
Sidang berita itu diadakan di kediaman Mastura di Bukit Chandan, 
Kuala Kangsar dan turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr 
Zambry Abd Kadir serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong Mohd 
Kamil Shafie dan ADUN Bukit Chandan Maslin Sham Razman.
Pada proses penamaan calon hari Ahad, Mastura tidak menghadiri 
sebaliknya beliau diwakili Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor 
Melayu Malaysia Perak Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin yang 
menyerahkan borang pencalonan tepat pada 9.01 pagi.
Dalam sidang akhbar itu, Mastura, 55, menegaskan bahawa beliau 
tidak dipaksa mana-mana pihak untuk menjadi calon BN pada PRK itu.
Sebaliknya, beliau berkata pemilihannya sebagai calon BN merupakan 
satu penghormatan buat dirinya dan berjanji akan meneruskan 
kesinambungan perjuangan Allahyarham suaminya itu.
"Saya mempunyai keyakinan dengan kepimpinan parti, sebab itu mereka
 memilih saya kerana berpendapat khidmat baik arwah perlu diteruskan 
oleh seseorang yang tahu bahawa ia harus dilakukan dengan betul.
"Saya fikir kepimpinan parti memahaminya dan sensitif dengan perasaan penduduk Kuala Kangsar," katanya.
Beliau juga yakin semua jentera BN akan membantunya mempertahankan kerusi Parlimen itu.
Mastura berkata sekiranya dipilih menjadi Anggota Parlimen, beliau 
mahu memberi lebih tumpuan kepada isu-isu tempatan dan meneruskan agenda
 pembangunan yang dirancang suaminya.
"Arwah merupakan seorang yang sukakan sungai dan air, perbincangan 
dengan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi membangunkan 
persisiran Sungai Perak di tahap antarabangsa sedang dilakukan,"katanya.
Mastura ditentang Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr 
Najihatussalehah Ahmad yang mewakili PAS, Naib Ketua Amanah kawasan 
Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary 
Ismail Bukhary (Bebas).
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad
 Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, 
Sarawak pada 5 Mei lepas.
Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar 
pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei 
lepas.
Pengundian PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini.-5/6/2016
Ini macam kerja orang UMNO ... stail main isu stail orang UMNO. Kepala mungkin orang UMNO luar kawasan. Jangan pula sayap pun sekongkol. 

No comments:
Post a Comment
Dialu-alukan komentar yang berhemah dengan hujah yang bernas dan dalam tulisan dan bahasa yang jelas dialu-alukan. KOMEN YANG BERUPA "TROLL", SERANGAN PERIBADI DAN BAHASA KASAR TIDAK AKAN DISIARKAN.